suria

Kos Pembinaan MRT Lembah Klang Akan Diketahui Mei Ini

KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Projek Aliran Transit Mass (MRT) Lembah Klang akan diketahui penghujung Mei ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata jumlah keseluruhan projek MRT Lembah Klang, termasuk kerja-kerja bawah tanah dan pembinaan masih dalam peringkat penilaian reka bentuk asas dan proses memuktamadkan.

Di samping itu, katanya, keputusan akhir jajaran setelah semua maklum balas diterima dan proses selepas pameran awam yang sedang berlangsung sekarang sehingga 14 Mei ini juga akan memainkan peranan dalam menentukan kos projek MRT tersebut.

"Anggaran yang lebih tepat dijangka diketahui menjelang hujung Mei iaitu setelah semua elemen kos diambil kira dan dimuktamadkan.

"Pada masa ini Syarikat Prasarana Negara Bhd sebagai pemilik projek dan aset MRT sedang mengadakan proses kontraktor pra-kelayakan untuk projek tersebut," katanya menjawab soalan asal Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) di sini, Selasa.

Dr Tan ingin tahu anggaran perbelanjaan MRT Lembah Klang, peringkat dan tempoh pelaksanaan serta syarikat yang mengemukakan tender dengan MRT.

Mohamed Nazri berkata tender untuk kerja-kerja projek MRT Lembah Klang itu akan dibuka selepas jajaran serta keperluan projek dimuktamadkan.

Mengenai lawatan rasmi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ke MTR Corporation di Hong Kong pada Januari lepas, Mohamed Nazri berkata ia terdiri daripada lapan peserta termasuk Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar dengan kos perjalanan dan penginapan sebanyak RM65,206.

Katanya, antara hasil lawatan itu ialah pemahaman yang lebih mendalam mengenai model rel dan hartanah untuk mengurangkan kos pembinaan projek MRT yang menjadi model pembiayaan projek keretapi Aliran Transit Mass (MRT) di Hong Kong.

"Selain itu pemahaman yang lebih mendalam mengenai cabaran pembinaan keretapi bawah tanah serta cara-cara mengatasi cabaran tersebut dan mengenai perancangan jajaran yang baik.

"Ia juga termasuk penelitian atas pelaksanaan konsep integrasi stesen dengan premis komersial, penelitian atas perancangan operasi dan penyelenggaraan serta pemahaman mendalam mengenai pendekatan pengurusan komunikasi untuk projek besar," katanya.

Mohamed Nazri menjawab soalan asal Loke Siew Fook (DAP-Rasah), yang ingin tahu hasil lawatan rasmi SPAD ke Hong Kong baru-baru ini, senarai peserta delegasi serta kos terperinci berhubung lawatan itu. -BERNAMA

Artikel Lain