suria

Gelaran 'Wanita Pertama' Rujuk Isteri PM

KUALA LUMPUR: Panggilan Wanita Pertama dalam konteks Malaysia merujuk kepada isteri Perdana Menteri, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, panggilan itu adalah satu gelaran tidak rasmi yang tidak berasaskan kepada sebarang peruntukan perundangan tetapi berasaskan kepada amalan dan kelaziman yang biasa.

"Ini adalah amalan lama dalam politik antarabangsa. Sebagai contoh di United Kingdom, Ratu Elizabeth bukan dianggap Wanita Pertama kerana beliau digelar sebagai Ratu.

Wanita Pertama ialah isteri kepada Ketau Eksekutif iaitu isteri Perdana Menteri. Begitulah juga seperti yang berlaku di negara Jepun," katanya.

Justeru, tidak perlu timbul sebarang kekeliruan dari segi penggunaan gelaran tersebut, katanya ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) yang bertanya mengenai takrifan Wanita Pertama Malaysia, sama ada merujuk kepada isteri Perdana Menteri atau Raja Permaisuri Agong.

Mengenai peruntukan kewangan untuk membiayai kegiatan Wanita Pertama pada 2011, Mohamed Nazri berkata tiada peruntukan kewangan khusus untuk membiayai kegiatan isteri Perdana Menteri.

Menjawab soalan tambahan Johari, Mohamed Nazri turut menegaskan bahawa tidak wujud unit khas untuk Wanita Pertama di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya penggunaan panggilan Wanita Pertama juga tidak bercanggah dengan peruntukan 32 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Raja Permaisuri Agong sebagai yang utama. BERNAMA

Artikel Lain