suria

Dewan Rakyat Kecoh, TPM Dikatakan 'Pekak'

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh sebentar apabila beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menuntut supaya Ahli Parlimen Ipoh Barat dari DAP, M.Kulasegaran menarik balik dan memohon maaf atas kenyataannya yang menuduh Menteri Pelajaran dan timbalannya pekak.

Kulasegaran membuat kenyataan itu apabila mendakwa Kementerian Pelajaran enggan mengambil kira maklum balas dan bantahan dari pihak-pihak berkepentingan supaya novel kontroversi 'Interlok' tidak dijadikan buku rujukan dalam mata pelajaran Sastera bagi Tingkatan Lima.

"Kenapa kerajaan masih guna novel Interlok, jawapan dia tak ada kena mengena dengan apa yang saya soal, dia kata, untuk makluman YB, panel bebas telah ditubuh kementerian untuk teliti dan kaji kandungan, pengumuman akan dibuat.

"Ini semua tipu kerana novel sudah dipakai di sekolah. Adakah pegawai tidak tahu soalan saya tanya atau menteri itu pekak?. Ini menimbulkan kemarahan masyarakat India," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Selasa.

Kenyataan pedasnya itu menyebabkan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) bangun membantah diikuti oleh Hamin Samuri (BN-Ledang) dan Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) yang mengakibatkan keadaan dewan kecoh.

"Saya begitu tersentak dengan perkataan dikeluarkan Ipoh Barat," kata Mohd Nor manakala penyokong kerajaan yang lain terus mendesak Kulasegaran menarik balik kenyataannya itu.

Tindakan Kulasegaran juga ditegur Timbalan Yang diPertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee yang mengingatkan beliau supaya tidak menggunakan perkataan tidak sopan ketika berucap.

Sementara itu, seorang wakil rakyat mencadangkan supaya syarikat-syarikat telekomunikasi (Telcos) di negara ini melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dengan bertindak menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS Alert) untuk menyampaikan informasi mengenai kedudukan semasa malapetaka di Jepun, yang kini berhadapan krisis kebocoran radiasi nuklear.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berkata, ini bagi membolehkan maklumat tepat mengenai situasi di negara itu disebarkan bagi mengelak kekeliruan akibat terlalu banyak sumber yang menyebarkan cerita tidak pasti kesahihannya.

Dalam hal ini, katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menjadi pendorong untuk menasihatkan telco seperti Maxis, Celcom dan DiGi berbuat demikian.

Fong membuat cadangan itu berikutan penyebaran pelbagai maklumat melalui SMS dan emel mengenai bencana itu khususnya mengenai penyebaran radiasi nuklear, yang kesahihannya tidak dapat dipastikan.

"(Tapi) saya percaya saat inilah Perdana Menteri patut menasihati Telcos melaksanakan CSR mereka," katanya.

Persidangan dewan disambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain