suria

Tsunami Jepun: Selangor Tawar Bantuan Perubatan

KUALA LUMPUR: Selangor menawarkan bantuan kemanusiaan berupa rawatan pemulihan kepada mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun Jumaat lepas.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri mempunyai kemampuan untuk menghulurkan bantuan tersebut menerusi pelajar kejuruwatan di Kolej Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

"Kerajaan negeri tidak keberatan untuk membiayai penghantaran jururawat untuk memberi bantuan kepada rakyat Jepun, termasuk kos perjalanan serta penginapan mereka serta fasiliti yang terlibat.

"Inilah bantuan sedikit yang kami boleh hulurkan. Kami mendoakan semua mangsa yang selamat agar cepat sembuh. Kami tahu dan yakin rakyat dan negara Jepun akan pulih dari malapetaka ini dengan cepat," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Timbalan Chief-de-Mission Kedutaan Jepun di Malaysia, Koichi Ito ketika mengunjungi kedutaan berkenaan di sini, Isnin.

Jumaat lepas, gempa bumi kuat berukuran 8.9 pada skala Richter di timur laut negara itu mengakibatkan tsunami yang menyebabkan lebih 1,700 orang maut, 10,000 lagi hilang, 215,000 orang pindah ke khemah sementara dan kerugian dianggarkan RM52 bilion.

Terdapat 5,009 rakyat Malaysia yang berdaftar di Jepun termasuk 2,100 pelajar.

Artikel Lain