suria

Rumah Dipecah Masuk Pencuri, ADUN Kerugian RM10,000

IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Teja, Chang Lih Kang kehilangan barangan bernilai RM10,000 apabila rumahnya di Taman Melor di sini di pecah masuk pencuri malam tadi.

Kejadian itu disedari pada pukul 11 malam apabila beliau dan keluarga pulang daripada menghadiri majlis makan malam di bandar ini dan mendapati pintu rumahnya dipecahkan.

Antara barangan yang hilang ialah wang tunai RM800, barangan kemas, pen dan beg tangan berjenama, kata Chang ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ini merupakan kali kedua rumahnya dipecah masuk. Kejadian pertama ialah pada November lepas membabitkan kerugian RM4,500.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Sementara itu, seorang isteri peniaga ayam kerugian lebih RM25,000 apabila disamun oleh dua lelaki bersenjata sebilah parang di rumahnya di Kampung Tersusun Tambahan, Kopisan Baru, Gopeng hari ini.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Abdul Aziz Salleh berkata dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, rumah peniaga ayam terbabit dimasuki dua lelaki berusia dalam lingkungan 30-an.

Isteri peniaga ayam berusia 40 tahun dan seorang anak mereka yang ketika itu berada di rumah diikat dan dua lelaki terbabit merampas barangan kemas bernilai RM25,000 serta wang tunai RM500 sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian peniaga berusia 40-an itu telah keluar ke pasar awam Gopeng untuk memulakan perniagaannya.

Polis telah mengenalpasti kedua-dua lelaki terbabit, katanya. BERNAMA

Artikel Lain