suria

MCA Tangguh Pemilihan Parti Sebagai Persediaan PRU-13

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA pada Ahad meluluskan usul untuk menangguhkan pemilihan parti bagi membolehkan parti memberi tumpuan kepada persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Perwakilan pusat juga meluluskan usul parti untuk meminda perlembagaan parti bagi membolehkan pemilihan parti ditangguhkan bagi tempoh hanya 36 bulan berbanding 42 bulan dari tarikh pilihan raya umum lepas.

Mengikut perlembagaan MCA sedia ada, parti boleh menangguhkan pemilihannya sekiranya pemilihan perlu diadakan dalam tempoh 42 bulan selepas pilihan raya umum lepas, dan pemilihan parti mesti diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas pilihan raya umum akan datang.

Dengan keputusan itu, ini bermakna pemilihan parti yang dijadualkan tahun ini boleh ditangguhkan serta merta dari bulan ini dan tidak perlu menunggu sehingga September atau 42 bulan sepertimana termaktub dalam perlembagaan parti sedia ada.

Terdahulu, 1,844 daripada 2,362 perwakilan pusat hadir pada EGM yang berlangsung di Dewan San Choon, Wisma MCA di sini dengan undi dibuat secara mengangkat tangan berikutan tiada permohonan daripada para perwakilan yang hadir supaya undian dijalankan secara rahsia.

Sejumlah 1,827 perwakilan menyokong usul menangguhkan pemilihan parti dan usul meminda perlembagaan parti manakala 14 perwakilan berkecuali dan tiga pewakilan tidak menyokong usul berkenaan.

Keputusan itu diumumkan speaker mesyuarat Datuk Yik Phooi Hong pada 10.40 pagi.

Parti itu memutuskan untuk mengadakan EGM hari ini selepas 93 peratus atau 2,201 daripada 2,362 perwakilan pusat MCA menandatangani petisyen bersetuju untuk mengadakan EGM bagi menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun ini.

Bercakap kepada pemberita selepas EGM itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, keputusan itu menunjukkan para perwakilan pusat adalah matang yang telah meletakkan kepentingan parti mendahului kepentingan peribadi bagi membolehkan parti membuat persediaan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada para perwakilan yang hampir 100 peratus bersetuju dengan penangguhan ini. Semua ini dilakukan bagi membolehkan parti memberi tumpuan pada persediaan untuk pilihan raya umum akan datang.

"MCA akan memberikan kerjasama dan tumpuan sepenuhnya bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain