suria

JKM Teliti Pengambilan Anak Angkat

KOTA BARU: Setiap permohonan untuk mengambil anak angkat akan diperhalusi bagi memastikan kanak-kanak yang diserah kepada keluarga angkat tidak dipergunakan untuk kegiatan sindiket kanak-kanak, kata Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan, Md Noor Chik.

Beliau berkata kehadiran ramai kanak-kanak terbiar yang ditemui menjadi peminta sedekah di sekitar bandar Kota Baharu menyebabkan JKM Kelantan memberi perhatian serius dalam proses kelulusan pengambilan anak angkat.

"Kami yakin ada sindiket yang mempergunakan kanak-kanak sebagai peminta sedekah di negeri ini. Bagaimanapun sukar untuk menahan mereka kerana mereka begitu licik dan seperti diawasi oleh ketua mereka setiap masa, sebab itulah kami bimbang dan tidak mahu ada bayi atau kanak-kanak yang diambil keluarga angkat terjebak dengan kegiatan itu," katanya.

"Kami faham ada keluarga angkat yang benar-benar menginginkan anak kerana mereka tiada zuriat, namun pihak kami tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan permohonan tanpa penelitian dan usul periksa mengenai latar belakang keluarga berkenaan demi menjamin keselamatan bayi atau kanak-kanak berkenaan," katanya.

Antara syarat yang diperlukan untuk kelulusan pengambilan anak angkat ialah pemohon sudah berkahwin, memiliki keadaan ekonomi yang baik dan lebih mudah lagi jika mempunyai hubungan dengan waris bayi atau kanak-kanak atau dipersetujui waris berkenaan, katanya.

Md Noor berkata pemohon juga perlu berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam proses pengambilan anak angkat di mana JPN memerlukan laporan dua tahun mengenai latar belakang pemohon.

Beliau berkata pada tahun lepas, JKM menerima 43 permohonan untuk mengambil anak angkat di negeri ini dan dalam tempoh itu 14 bayi -- dua daripadanya dibuang di stesen bas --- diserah kepada JKM untuk diberi perlindungan.

Md Noor berkata sekiranya ibu bapa angkat merasa tidak serasi atau tidak boleh memberi tanggung jawab menjaga anak angkat berkenaan, mereka boleh menyerahkan semula anak itu kepada JKM.

"Kanak-kanak yang tidak serasi dengan ibu bapa angkat akan ditempatkan di tempat perlindungan atau institusi tertentu bagi membolehkan mereka memperoleh kemahiran untuk meneruskan kehidupan apabila dewasa," katanya. BERNAMA

Artikel Lain