suria

Bekas Pengurus Akaun Bank Dituduh Pecah Amanah

SUNGAI PETANI: Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, atas dua tuduhan pecah amanah wang milik pelanggan berjumlah RM74,000, awal tahun ini.

Dalam pertuduhan pertama Khor Gek Khim, 28, dituduh memindahkan wang secara perbankan internet berjumlah RM40,000 daripada akaun mangsa yang dikenali sebagai Beh Peoy Su ke dalam akaun orang lain yang dikenali sebagai Irene Ching Shwu Chyn, dengan melanggar undang-undang, di cawangan Bank HSBC di sini 21 Januari lalu.

Pertuduhan kedua terhadap Khor ialah memindahkan wang secara perbankan internet berjumlah RM34,000 daripada akaun Beh ke dalam akaun orang lain yang dikenali sebagai Ng Moi Heng dengan melanggar undang-undang di lokasi sama 24 Januari lalu.

Khor yang berasal dari Taman Keladi di sini didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Hakim Zainol Saad menetapkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 13 April ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Syazwani Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam KT Jayaraj.

Media pada 26 Feb lalu melaporkan tertuduh ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Khor yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Februari lalu ditahan di rumahnya di sekitar bandar ini pada 23 Februari lalu, selepas pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata sehingga 25 Februari lalu sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan. -BERNAMA

Artikel Lain