suria

Rosmah Ucap Takziah Kepada Mangsa Gempa Bumi, Tsunami Di Jepun

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada Ahad melahirkan rasa simpati dan menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Jepun berikutan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda negara Matahari Terbit itu pada Jumaat lepas.

Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) mendoakan mereka yang terselamat dalam malapetaka itu dapat kembali meneruskan kehidupan seperti sedia kala.

"Saya sebagai ibu dan isteri merasa amat sedih apabila melihat banyak nyawa yang terkorban. Saya diberitahu ada kereta api yang berlanggar...cuba bayangkan kemusnahan yang berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang walkathon 'Walk For Children: 1Malaysia Goes Green' di Dataran Merdeka di sini, Ahad.

Gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun pada tengah hari Jumaat lepas dan mencetuskan tsunami setinggi 10 meter yang melanda wilayah timur laut negara itu serta mengorbankan sekurang-kurangnya 1,300 orang.

Walkathon itu, yang disertai kira-kira 2,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk remaja dan kanak-kanak, dianjurkan Kelab International School of Kuala Lumpur bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada Rumah Kasih Sayang, Rawang dan Shelter Home Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain