suria

Malaysia Hantar Pasukan Smart Ke Jepun, Kata Najib

PEKAN: Malaysia akan menghantar Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) untuk membantu usaha menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pasukan berkenaan yang terdiri daripada 15 anggota serta beberapa orang doktor dan pembantu perubatan akan berlepas pada 6 petang Sabtu dengan dua buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia.

"Sebagai tanda simpati dan sokongan kita kepada kerajaan dan rakyat Jepun, kerajaan Malaysia akan menghantar Smart Team kita untuk membantu usaha menyelamat mangsa-mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kampus Universiti Malaysia Pahang Pekan di sini Sabtu.

Beliau berkata enam ekor anjing pengesan akan turut dihantar bagi mengesan sekiranya terdapat mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan.

Mengenai keadaan rakyat Malaysia di negara tersebut, Najib berkata kesemua mereka terselamat daripada bencana itu.

Ditanya jika kerajaan akan membawa pulang rakyat negara ini berikutan kebimbangan kebocoran reaktor nuklear, Najib berkata perkara itu bergantung kepada kerajaan Jepun sama ada ia berbahaya atau sebaliknya.

Jepun dilanda gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter yang melanda timur laut negara itu.

Ia turut mencetuskan gelombang tsunami sehingga 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang dikhuatiri maut.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memantau kesan bencana itu terutama daripada segi ekonomi dan kenaikan harga barangan.

"Kita memantau kenaikan harga barangan yang kita import, salah satu melalui skim subsidi kita. Kalau kita lihat daripada segi barang keperluan harga di Malaysia adalah yang paling rendah di rantau ini," katanya.

Najib berkata usaha juga dibuat untuk menambah bekalan barangan keperluan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Felda selain menggalakkan persaingan di kalangan industri yang mampu mengurangkan harga barangan.

Katanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga diarah memantau peniaga yang menaikkan harga barangan, sama ada yang dikawal atau tidak dikawal, dengan terlalu tinggi.

"Kita tidak mahu inflasi terlalu tinggi, kalau dalam keadaan dua peratus atau dua setengah peratus itu boleh bertahan lagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain