suria

Kerajaan Pulau Pinang Digesa Bekerjasama Anjur Kempen Turun Harga Barang

GEORGE TOWN: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe menggesa kerajaan pimpinan DAP Pulau Pinang bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam menganjurkan Kempen Penurunan Harga Barang untuk kepentingan rakyat.

Tan berkata kempen itu dilancarkan untuk mengurangkan beban perbelanjaan pengguna.

"Kerajaan negeri tidak boleh terlalu bergantung pada kerajaan pusat, malah mereka seharusnya memainkan peranan mereka bagi mengurangkan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutupan program kepenggunaan di sini pada Ahad.

Beliau berkata kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan berikutan beberapa faktor seperti cuaca dan bencana alam yang menyebabkan dunia menghadapi krisis makanan dan Malaysia sebagai negara pengimport bagi beberapa produk terpaksa menanggung kesannya.

"Tetapi sehingga kini, kami masih belum nampak apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi membantu rakyat dalam isu kepenggunaan.

"Mereka (kerajaan negeri) hanya memainkan isu politik dari mula memimpin negeri sehingga sekarang," katanya.

Terdahulu, Tan turut merasmikan 'Kempen Penurunan Harga Barang' di Pasar Raya Besar Giant di Jalan Burmah. Katanya, penduduk di luar bandar bakal menikmati harga barangan keperluan harian lebih rendah berbanding kini berikutan cadangan kerajaan untuk memperluaskan kempen tersebut ke kawasan berkenaan pada masa depan.

Beliau berkata pihaknya kini sedang dalam proses mengenal pasti peniaga kecil di luar bandar yang berminat bekerjasama dengan pihaknya bagi melaksanakan kempen itu.-BERNAMA

Artikel Lain