suria

JPAM Bakal Mulakan Operasi Di Gua Musang

GUA MUSANG: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) daerah Gua Musang akan mempunyai pejabat dan pusat latihan sendiri pada 2012 apabila sebuah blok bangunan dibina dengan peruntukan RM20 juta.

Pengarahnya Zainuddin Hussin berkata setakat ini, sebanyak RM2.8 juta dibelanjakan untuk menyiapkan tapak itu, yang terletak bersebelahan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Gua Musang, lebih setahun lepas.

"Setakat ini, kita mempunyai 1,400 anggota yang bersedia memberi perkhidmatan sepanjang masa termasuk perkhidmatan 999 di unit kecemasan Hospital Gua Musang yang dianggap penting untuk orang ramai," katanya pada Pembukaan Latihan Mingguan 2011 dan majlis Sual Kenal Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Galas, Ab Aziz Yusof dengan warga JPAM Gua Musang, Sabtu.

Zainuddin berkata JPAM juga akan menubuhkan unit 999 di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh Satu khusus bagi penyelamat mangsa kemalangan jalan raya Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

"Unit ini penting untuk pengguna jalan raya itu yang sebelum ini kerap berdepan dengan kemalangan jalan raya dan memerlukan bantuan segera untuk dihantar ke hospital kerana jarak perjalanan jauh," katanya.

JPAM masih dalam perbincangan untuk mendapat kelulusan tanah bagi tapak penempatan unit itu dan diharapkan mendapat pertimbangan pelbagai pihak khususnya Kesedar.

"Bagi unit 999 di Merapoh pula, saya ada berbincang dengan JPAM Pahang bagi laluan perjalanan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Sekiranya dua penempatan unit 999 itu dapat dilaksanakan nanti sudah tentu JPAM akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan mampu membantu mangsa kemalangan dengan cepat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain