suria

Jangan Jadikan Tsunami Alasan Naikkan Harga - Ismail Sabri

BERA: Peniaga diingatkan tidak menaikkan harga barang keperluan sesuka hati dengan alasan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, Jumaat lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peniaga tidak ada sebab untuk berbuat demikian kerana kebanyakkan barang keperluan harian tidak diimport dari negara matahari terbit itu.

"Ada negara yang tidak membekalkan barang keperluan kepada Malaysia, jadi tidak ada sebab barang-barang keperluan dinaikkan," kata Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera kepada pemberita selepas merasmikan penutupan kursus motivasi anak yatim Parlimen Bera di sini, Ahad.

Beliau berkata, ia berbeza dengan kenaikkan harga barangan seperti bawang merah, bawang putih dan kentang baru-baru ini yang disebabkan negara pengeluarnya iaitu China dan beberapa negara Eropah dilanda banjir dan bencana alam.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memantau harga barang di pasaran bagi mengurangkan beban rakyat.

Mengenai harga minyak, Ismail Sabri berkata tiada tanda harga bahan itu akan turun berikutan harga minyak global semakin naik yang memaksa kerajaan menanggung subsidi lebih RM4 bilion lagi agar tidak membebankan rakyat.

Katanya, sepanjang tahun lepas, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10.3 bilion sebagai subsidi minyak dan barangan pengguna.

Walaupun subsidi itu membebankan, namun kerajaan belum bercadang menghentikannya, sebaliknya berusaha mencari kaedah lain bagi mengurangkan bebanan itu, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain