suria

Rondaan Polis Di Pesisir Pantai Langkah Waspada - KPN

KUALA TERENGGANU: Penduduk terutamanya di kawasan tepi pantai tidak perlu panik dengan langkah polis mengadakan rondaan di pesisiran pantai beberapa negeri susulan kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun, Jumaat.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Ismail Omar berkata langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga dan waspada dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Langkah membuat rondaan ini sebagai persediaan agar kita tidak kelam-kabut sekiranya sesuatu bencana, apa saja bencana alam yang mungkin menimpa negara kita.

"Tetapi ingin saya jelaskan bahawa dari segi kajiannya negara kita tidak terjejas daripada insiden ini (kejadian gempa bumi di Jepun) dan saya harap orang ramai tidak panik," katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan pemakaian pangkat Pegawai Kehormat Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini Sabtu. Turut hadir Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas langkah pasukan peronda polis di beberapa negeri bagi memantau sepanjang pesisir pantai negeri berkenaan mulai petang Jumaat.

Rondaan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga kemungkinan laut bergelora dan ombak besar di kawasan pantai di ekoran gempa bumi kuat dan tsunami yang melanda Jepun.

Beliau berkata polis akan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai apa yang berlaku di Jepun dalam usaha untuk bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.

Jelasnya, pemantauan polis peronda di kawasan pantai itu akan dijalankan secara berterusan sehingga keadaan pulih.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Jalan semarak, Kuala Lumpur akan terus digunakan sebagai pusat latihan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Ingin saya tekankan, ia masih sesuai dijadikan sebagai pusat latihan utama polis. Ini kerana kita sedia maklum sebelum ini telah beribu-ribu pelatih dilahirkan dari pusat ini.

"Jadi tidak timbul bahawa pusat ini sudah tidak selamat lagi," katanya ketika diminta mengulas mengenai kematian seorang pelatih di situ yang dijangkiti virus 'adenovirus' pada Selasa lalu.

Bagaimanapun, Ismail berkata, polis akan mengambil langkah-langkah perlu termasuk bekerjasama dengan mana-mana kementerian yang berkaitan agar keselamatan dan kebersihan persekitaran pusat latihan itu bersesuaian dengan keperluan pelatih. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain