suria

"Pertelingkahan" Antara Dr Mahathir-Ku Li Tidak Jejaskan UMNO

PUTRAJAYA: Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan percaya 'pertelingkahan' terbaru membabitkan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan memecahbelahkan parti itu.

Beliau berkata apa yang ditulis oleh Dr Mahathir dalam buku memoir karangannya berjudul "A Doctor in the House" mengenai Tengku Razaleigh adalah sesuatu yang benar.

"Apa yang benar tetap benar. Tun Dr Mahathir menyatakan perkara yang benar dalam bukunya.

"Pada saya ia tidak akan menjejaskan parti. Itu hanya pandangan daripada seorang (iaitu Tengku Razaleigh). Orang lain mungkin ada pandangan mereka sendiri," katanya selepas melancarkan Persatuan Alumni Siswazah New Zealand Malaysia (Prizma) di sini, Sabtu.

Pada Jumaat, sebuah portal berita melaporkan Tengku Razaleigh sebagai berkata dengan Allah sebagai saksi, beliau tidak pernah terbabit dalam pembelian undi seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir dalam autobiografi beliau yang mula berada di pasaran minggu ini.

Pemimpin veteran Umno itu turut mendakwa seteru lama beliau, Dr Mahathir, melakukan 'pembohongan politik' dalam coretan kenangan beliau berhubung apa yang berlaku ketika berlangsungnya pemilihan jawatan dalam parti pada 1987 yang menimbulkan perbalahan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau akan mengadakan dialog tertutup dengan Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman bulan depan untuk membincangkan isu berkaitan Felda.

Ahmad berkata Mazlan telah menghantar surat kepadanya semalam dan bersetuju menerima jemputan beliau untuk berdialog berhubung perkara itu.

"Sebab saya yang menjemput beliau, maka saya bersetuju untuk mengadakan dialog dengannya. Tarikh dan tempat masih belum ditentukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain