suria

Kemusnahan Akibat Gempa Bumi Dan Tsunami Lebih Ketara

TOKYO: Sebaik saja fajar menyingsing, kemusnahan dahsyat akibat gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter dan tsunami setinggi 10 meter yang melanda Jepun tengah hari Jumaat, menjadi lebih ketara -- lebih 1,000 dikhuatiri maut.

Polis dan media tempatan mula melaporkan kemusnahan dahsyat yang berlaku di Tohoku atau timur laut Jepun, dengan Sendai paling teruk menerima kesannya kerana terletak paling hampir dengan pusat gempa yang berlaku pada pukul 2.46 petang (1.46 tengah hari waktu Malaysia) itu.

Siaran televisyen memaparkan visual tentang kawasan kediaman dan ladang yang ditenggelami air serta kenderaan yang dihanyutkan.

Sementara itu, satu lagi gempa bumi berukuran 6.7 pada skala Richter berlaku pada pukul 3.59 pagi tadi (2.59 pagi waktu Malaysia), yang menggegarkan kawasan pantai Laut Jepun di barat laut Tokyo, melibatkan wilayah Nagano dan Niigata.

Bagaimanapun, setakat ini, sejauh mana kemusnahan yang diakibatkan gempa terbaru yang berlaku di kawasan berkenaan, yang terletak jauh dari kawasan yang dilanda malapetaka dahsyat Jumaat, belum diketahui.

Di samping berita tentang kemusnahan dan usaha menyelamat yang menjadi tumpuan pelbagai pihak sekarang, satu lagi perkara yang mencetuskan kebimbangan ialah kemungkinan berlaku kebocoran radiasi pada reaktor nuklear yang terletak di wilayah Fukushima, lebih kurang 240km di utara bandar raya ini.

Sementara itu, kedutaan Malaysia di sini menyatakan pihaknya telah menghubungi warga Malaysia, termasuk pelajar yang tinggal di kawasan yang paling teruk dilanda gempa bumi itu.

Sehingga pukul 6 pagi Sabtu (5 pagi waktu Malaysia), kedutaan itu telah menghubungi 289 warga Malaysia yang tinggal di wilayah yang dilanda gempa bumi dan tsunami semalam.

Ia juga berhubung dengan rakyat Malaysia dari wilayah lain, yang kurang terjejas oleh bencana alam itu.

"Setakat ini, kesemua mereka selamat dan tiada rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kemalangan jiwa. Rakyat Malaysia yang berada di kawasan paling teruk terjejas juga telah berpindah ke kawasan selamat yang disediakan pihak berkuasa Jepun," kata Kementerian Luar Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur.

Sebahagian lebuh raya ke Lapangan Terbang Narita yang ditutup sebelum ini atas faktor keselamatan, telah dibuka semula.

Satu penerbangan Malaysia Airlines (MAS) MH89, yang pada asalnya dijadualkan berlepas dari lapangan terbang itu pada pukul 10.30 pagi (9.30 pagi waktu Malaysia) hari ini, ditunda ke pukul 1.30 tengah hari (12.30 tengah hari waktu Malaysia), manakala penerbangan MH71, yang dijadualkan berlepas pada pukul 1.30 tengah hari, akan berlepas pada pukul 9 pagi (8 pagi di Malaysia), Ahad.

Sehingga tengah hari Sabtu, perkhidmatan bas biasa antara Lapangan Terbang Narita dan Tokyo belum disambung semula dan beberapa hotel menyewa bas untuk kegunaan tetamu mereka.

Kebanyakan perkhidmatan tren bawah tanah mula kembali seperti biasa dan ini memudahkan pergerakan sebahagian besar daripada 12 juta penduduk Tokyo serta mereka dari bandar lain.

Landasan tren bawah tanah ditutup selama hampir enam jam dan menyebabkan berjuta-juta penumpang terkandas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain