suria

Najib Ucap Takziah Kepada Kerajaan Dan Rakyat Jepun

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah dan simpati kepada kerajaan dan rakyat Jepun di atas musibah gempa bumi dan tsunami yang melanda negara tersebut.

Najib menyampaikan ucapan itu ketika memulakan ucapan perasmian Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala PM 2011 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini malam ini.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter melanda timur laut Jepun pada Jumaat, menggegarkan bangunan-bangunan di Tokyo.

Laporan menyebut bahawa gempa bumi tersebut mencetuskan tsunami sehingga setinggi 10 meter (30 kaki), ombak menyapu kawasan ladang, menghanyutkan rumah-rumah, tanaman dan kenderaan-kenderaan.

Berikutan itu, amaran tsunami dikeluarkan bagi seluruh lembangan Pasifik kecuali tanah besar Amerika Syarikat dan Kanada.

Negara-negara yang diliputi amaran itu termasuklah Rusia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.

Laporan media asing memetik laporan badan penyiar NHK yang menyebut sekurang-kurangnya 59 orang terkorban dalam kejadian gempa bumi dan tsunami itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain