suria

Mayat Wanita Warga Emas Ditemui Di Sebuah Ladang Getah Di Rawang

KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita warga emas ditemui di sebuah ladang getah di Jalan Rawang-Batu Arang, dekat dengan Taman Tasik Puteri, Rawang, Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, mayat wanita berumur lingkungan 70-an itu ditemui oleh orang awam yang melintasi ladang berkenaan pada kira-kira pukul 10.35 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati wanita itu pernah dilaporkan hilang sejak 5 Januari lepas, dan kes diklasifikasikan di bawah kes orang hilang, namun menurutnya polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur-unsur jenayah dalam kejadian itu.

Beliau yang dihubungi di sini berkata, bedah siasat keatas mayat wanita itu akan dilakukan esok.

Sementara itu, di sungai Bukit Dukung, Kajang, anggota jabatan Bomba dan Penyelamat sedang berusaha keras bagi mengesan seorang lelaki yang hilang selepas tergelincir ke dalam sungai di belakang rumahnya, semalam.

Ketua Balai Bomba Kajang, Ahmad Syauqi Abdullah ketika dihubungi berkata lapan anggota dari Balai Bomba Kajang bergegas melancarkan operasi mencari sejurus selepas menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan M.Ramesh, 28, pada pukul 8.18 malam.

"Operasi semalam dihentikan kira-kira pukul 12.23 tengah malam, dan ia disambung kira-kira pukul 8 pagi ini, dan kali ini operasi membabitkan 39 orang terlibat termasuk petugas dari Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba Sukarela serta Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain