suria

Lelaki Ditahan Selepas Lapan Jam Melakukan Samun

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang dipercayai menyamun jirannya kira-kira lapan jam sebelum itu, berjaya ditahan di rumah sewanya di Taman Seri Merpati di Jalan Kuala Kedah dekat sini awal Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, turut dirampas dari rumah lelaki berusia 33 tahun itu ialah sepucuk pistol, beberapa butir peluru serta gari.

"Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di rumah sewanya selepas polis menerima maklumat daripada orang awam.

"Sebelum itu suspek dipercayai menyamun rumah mangsa yang terletak di kawasan kejiranan yang sama kira-kira pukul 7.30 malam dan melarikan wang tunai RM400 serta barang kemas yang dipakai mangsa," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, pihaknya juga menemui barang kemas dan wang tunai yang dipercayai hasil samun di rumah lelaki tersebut.

Katanya, polis juga menyiasat sama ada lelaki itu bergerak secara bersendirian atau mempunyai rakan subahat.

"Suspek kini ditahan reman dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," kata Adzaman.

Beliau berkata, polis juga percaya penangkapan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes samun di sekitar Kota Setar termasuk cubaan samun bersenjata api di Taman Sinaran pada Isnin lepas.

Dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu seorang wanita, Low Sau Kiow, 46, bertindak melarikan diri ke dalam sebuah bas sekolah, menyebabkan seorang lelaki bertopeng yang cuba menyamun kediamannya melepaskan tembakan ke arah bas terbabit. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain