100 Rakyat Malaysia Di Kawasan Gempa Bumi Di Jepun Selamat - Semasa | mStar

100 Rakyat Malaysia Di Kawasan Gempa Bumi Di Jepun Selamat

KUALA LUMPUR: Seratus rakyat Malaysia yang berada di wilayah Miyagi, Iwate dan Aomori, iaitu tiga wilayah yang teruk dilanda gempa bumi di Tokyo disahkan selamat, demikian menurut Timbalan Ketua Perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Ahmad Rozian Abdul Ghani.

"Pihak kedutaan telah menghubungi rakyat Malaysia di sini dan sahkan mereka selamat. Tidak semua dapat kita hubungi kerana ada antara mereka pulang bercuti ke Malaysia atau wilayah berhampiran ekoran cuti semester ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Daripada jumlah itu, katanya 67 orang adalah pelajar, 43 di universiti di Miyagi, 18 di Iwate dan enam di Aomori.

Pelajar dan rakyat Malaysia juga telah sedia maklum langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kecemasan seperti hadir ke pusat-pusat evakuasi yang disediakan pihak kerajaan tempatan seperti yang sentiasa dimaklumkan kepada mereka sebelum ini, katanya.

Laporan media asing berkata, gegaran gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter telah melanda timur laut Jepun menyebabkan bangunan-bangunan di Tokyo bergegar dan bergoncang selama beberapa minit, memaksa orang ramai meninggalkan kediaman masing-masing.

Berikutan itu, amaran tsunami telah dikeluarkan di beberapa buah negara termasuk Filipina, Indonesia, Papua New Guinea dan Fiji.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Yong Soo Heong yang berada di Tokyo untuk tugasan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) berkata, gempa kuat itu telah menyebabkan beratus-ratus ribu pengguna komuter terkandas di stesen kereta api bawah tanah berikutan perkhidmatan itu ditangguhkan.

Restoran berhampiran stesen kereta api sesak dengan kebanjiran penumpang kereta api yang mendapatkan perlindungan daripada cuaca sejuk, katanya.

"Orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam selepas talian telefon bimbit mengalami kesesakan," katanya menerusi khidmat pesanan ringkas kepada Bernama hari ini.

Yong berkata, kedutaan Malaysia di Tokyo kini bekerja bertungkus-lumus untuk memastikan keselamatan pelajar dan rakyat Malaysia di sana.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som dilaporkan sedang menghadiri seminar ketika gempa itu berlaku dan bergegas pulang ke kedutaan untuk memantau operasi.

Banyak gambar dan fail di pejabat kedutaan dilaporkan jatuh ke lantai ketika gempa kuat itu berlaku.

Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata kedutaan Malaysia di Tokyo akan meneliti perkembangan bencana itu dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung gempa tersebut.

"Tiada laporan berhubung kematian di kalangan rakyat Malaysia setakat ini dan semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka dilaporkan berada dalam keadaan selamat," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

10 Srikandi ATM Teruskan Misi Di Lubnan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Penerima sulung Anugerah Ikon Pesara sebak imbau saat bersama kanak-kanak disleksia – “Persaraan berbaloi... ada jadi pilot, arkitek dan peguam”

KARNIVAL Rasa Sayang (KRS) 2019 anjuran KWAP membuka mata bakal pesara dan pesara untuk bergiat aktif selepas persaraan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain