suria

Polis Lumpuh Kegiatan Samun Kereta Mewah Bernilai RM1 Juta, 11 Ditahan

KUALA LUMPUR: Taktik licik 11 lelaki yang menyamun kereta mewah dengan cara melanggar belakang kereta tersebut di kawasan sunyi, tumpas selepas polis menahan mereka serta merampas lapan kereta mewah bernilai RM1 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata kesemua lelaki berumur 20 hingga 35 tahun itu ditahan sejak dua minggu lalu yang dipercayai terbabit lebih 10 kes samun kereta mewah di lebuh raya di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.

"Antara kereta mewah yang berjaya dirampas ialah Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan sengaja melanggar kereta mangsa di kawasan sunyi sebelum melarikan kereta serta barangan berharga mereka. Mangsa pula akan ditinggalkan di tepi jalan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Katanya daripada tangkapan itu, polis turut menjumpai parang, kayu dan pistol yang mungkin digunakan suspek sebagai senjata untuk mengugut mangsa.

Bakri berkata polis, melalui Ops Lejang Elite, yang dilancarkan untuk mengesan kegiatan samun kereta mewah pada ketika ini sedang giat mengesan saki baki anggota kumpulan itu yang menggunakan modus operandi sama.

Sementara itu, katanya Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket samun kenderaan yang menggunakan modus operandi sama, apabila lima lelaki ditahan dan dua kereta dirampas.

"Taktik yang sama juga digunakan, tetapi kali ini suspek menyamun mangsa yang hendak memasuki kereta sebelum melarikan kereta dan meninggalkan mangsa di situ," katanya.

Beliau berkata, dalam senario yang berlainan, polis Perlis juga berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan kereta mewah yang dicuri ke negara jiran melalui Padang Besar dan Bukit Kayu Hitam dengan tertangkapnya enam anggota kumpulan tersebut.

"Sebanyak empat kes curi kenderaan berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya keempat-empat lelaki terbabit," katanya sambil menambah kejayaan polis juga dibantu dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di pintu-pintu sempadan.

Sejak 2009 hingga tahun ini, polis mengesan 100 kes samun kereta mewah menggunakan modus operandi sama dengan nilai anggaran RM10 juta, katanya.

Katanya kereta-kereta mewah yang disamun suspek akan diseludup ke luar negara manakala yang kurang berjenama pula akan digunakan untuk melakukan kegiatan samun, atau kereta tersebut akan dileraikan untuk dijual sebagai alat ganti.

"Kita sedang menyiasat sama ada suspek-suspek samun kereta ini ada gunakan 'orang dalam' daripada syarikat-syarikat perkapalan untuk diseludup ke luar negara," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan polis juga mendapati kereta-kereta yang disamun tersebut berjaya diseludup hingga ke Dubai dan Afrika Selatan.

Beliau turut mendedahkan kegiatan samun dan melarikan kenderaan oleh sindiket yang menyamar sebagai anggota penguatkuasa ketika melakukan sekatan jalan raya atau di tempat-tempat awam lain.

"Mereka akan berlagak seperti polis sebelum meminta mangsa turun dari kereta dan terus melarikan kereta mangsa. Ada juga kita terima laporan mangsa dari golongan wanita cuba dirogol suspek," katanya.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket yang manyamar sebagai anggota polis ini dengan meminta mereka (polis) menunjukkan kad kuasa, nombor anggota mereka atau dari balai mana demi memastikan mereka tidak menjadi mangsa samun.

"Bagi mangsa kes langgar belakang pula, saya nasihatkan supaya mereka tidak berhenti di tempat kemalangan itu berlaku, sebaliknya pergi ke balai-balai berdekatan untuk proses perbincangan," katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang ditemui, mendedahkan kereta mewahnya disamun tiga lelaki bulan lalu selepas melanggar belakang keretanya di satu lebuh raya PLUS.

Kejadian berlaku pada 12 tengah malam ketika beliau dalam perjalanan pulang ke rumah di Shah Alam dari tempat kerjanya di USJ.

"Sebaik dilanggar saya keluar daripada kereta, sebelum seorang daripada mereka keluar dalam keadaan mabuk sambil meminta maaf.

"Tidak lama selepas itu, rakannya seorang lagi keluar dan hunuskan parang ke leher saya dan larikan kereta saya bersama beg duit dan telefon bimbit dan saya ditinggalkan di tepi jalan," kata ahli perniagaan yang berumur 30 tahun itu. - BERNAMA

Artikel Lain