suria

Pekerja Asing Berkhidmat 5+5 Tahun Di Semua Sektor Dibenarkan - KDN

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berkhidmat bagi pekerja-pekerja asing selama lima tahun lagi selepas tamat tempoh lima tahun pertama (5+5) untuk semua sektor yang dibenarkan dalam urusan pengambilan pekerja asing.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam berkata perkhidmatan pekerja-pekerja asing yang sah dan berpengalaman tinggi dalam semua sektor perlu dikekalkan kerana ia mempunyai kaitan rapat dengan peningkatan produktiviti dan daya saing negara.

Kerajaan telah mengarahkan supaya kajian mendalam dijalankan mengenai keperluan memanjangkan tempoh permit bekerja bagi pekerja-pekerja asing dalam sektor-sektor lain, katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

"Berdasarkan kepada kajian serta kepentingan sektor industri dan ekonomi negara, kerajaan telah memutuskan supaya kemudahan yang sama (5+5) tahun ditimbangkan kepada sektor-sektor lain yang dibenarkan dalam urusan pengambilan pekerja asing," kata Mahmood.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pada Mei lepas bahawa tempoh 5+5 itu hanya diberikan kepada pekerja-pekerja di sektor perladangan kelapa sawit untuk mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor itu serta mengelakkan mereka yang berpengalaman pulang ke negara asal.

Dalam perkembangan lain, Mahmood berkata laporan mengenai Makmal Khas Warga Asing Sabah telah pun siap dan dibentangkan kepada kabinet kerajaan negeri Sabah.

Katanya makmal yang berlangsung di Sabah pada 4 Mei hingga 27 Mei lalu telah mengemukakan sejumlah syor dan inisiatif sebagai tambahan kepada Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional.

Katanya kerajaan negeri Sabah telah bersetuju dengan syor dan inisiatif yang dikemukakan.

"Laporan itu akan dibentangkan di Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 17 Mac depan untuk dipertimbangkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain