suria

Lelaki Bekerja Sendiri Bebas Tuduhan Edar Dadah

SHAH ALAM: Seorang lelaki yang bekerja sendiri dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini tanpa dipanggil membela diri atas tuduhan mengedar dadah, tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtaruddin Baki membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Muhamad Aizat Abdul Manab, 26.

Dalam penghakimannya, Mohtaruddin berkata meskipun tertuduh mempunyai pengetahuan ke atas dadah yang dijumpai dalam sebuah almari yang terletak di dalam bilik stornya, namun pendakwaan gagal membuktikan beliau (Muhamad Aizat)mempunyai kawalan dan milikan ke atas dadah tersebut.

"Dalam kes ini, pihak pendakwaan boleh menuduh kedua-dua ibu bapa awak tetapi tidak berbuat demikian. Maka itu, awak bernasib baik dan perlu bertaubat," katanya ketika memberikan keputusannya.

Muhamad Aizat didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 479.02gram di No.10, Desa Al-Amin, Sungai Tangkas, Kajang di Daerah Hulu Langat, Selangor, kira-kira pukul 1.15 pagi, 23 April 2010. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Yasser Mohd Nasri manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Muhamad Aizat. - BERNAMA

Artikel Lain