suria

Kumpulan Baju Merah Rancang Perhimpunan Besar-Besaran Di Bangkok Sabtu Ini

BANGKOK: Kumpulan anti kerajaan Thailand, atau dikenali sebagai 'kumpulan baju merah' merancang untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran secara aman di tengah ibukota Bangkok Sabtu ini bagi memperingati ulang tahun pertama demonstrasi jalanan anjuran mereka.

Pemimpin Barisan Bersatu Demokrasi bagi Menentang Pemerintahan Diktator (UDD) Jatuporn Prompon berkata perhimpunan itu akan bermula pada pukul 3 petang di Democracy Monument di sini.

Beliau berkata bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra akan menyampaikan ucapannya menerusi persidangan video di perhimpunan itu nanti.

"Para pemimpin kumpulan baju merah yang sedang berhadapan dengan dakwaan mengenai keganasan dan dibebaskan dengan jaminan baru-baru ini akan turut serta dalam perhimpunan itu," katanya.

Tahun lepas kumpulan baju merah memulakan demonstrasi jalanan mereka di tengah ibukota pada 12 Mac, menuntut supaya Parlimen dibubarkan.

Bagaimanapun demonstrasi yang bermula secara aman itu berakhir dengan kekecohan pada hari-hari berikutnya, apabila para penunjuk perasaan dan tentera bertempur, dan ia mengakibatkan 91 orang terbunuh dan lebih 1,800 orang tercedera. - BERNAMA

Artikel Lain