suria

Suami Isteri Diculik Khamis Lepas Berjaya Melarikan Diri

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dan isterinya yang diculik pada Khamis lepas di hadapan rumah mereka di Sunway Kinrara, berjaya melepaskan diri dua hari kemudian.

Ketua Polis Daerah Serdang, Supritendan Abd Razak Elias berkata pasangan berkenaan, masing-masing berumur 51 dan 46 tahun, diculik pada pukul 11.55 malam Khamis ketika baru balik dari makan malam oleh dua lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dari Balai Polis Shah Alam.

Kedua-dua lelaki terbabit mendakwa mereka perlu membawa suami isteri itu ke Balai Polis Shah Alam bagi tujuan siasatan dan tapisan keselamatan, katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Selasa.

Beliau berkata mangsa yang mempercayai kata-kata suspek itu terus memasuki kereta jenis Proton Perdana berwarna hitam setelah diarahkan, namun secara tiba-tiba mata mereka ditutup manakala tangan pula digari.

"Selepas itu, suspek merampas wang dan semua barang berharga mangsa sebelum membawa mereka ke sebuah pondok kecil di kawasan terpencil di Kundang, Gombak," katanya.

Abd Razak berkata semasa dalam kurungan, suami isteri itu didera serta dipukul selain dipaksa menyerahkan nombor pin kad ATM di mana suspek telah mengeluarkan semua wang sebanyak RM2,000 daripada akaun mangsa.

Malah suspek turut menghubungi seorang rakan niaga mangsa untuk meminta wang tebusan sebanyak RM15,000, katanya.

Beliau berkata kedua-dua mangsa digari tangan dan kaki, dan gari kaki turut digarikan kepada rantai yang dipasang pemberat yang diperbuat daripada simen.

Bagaimanapun, kata Abd Razak, pada pukul 1 tengah hari Sabtu lepas, gari di kaki ahli perniagaan itu terbuka sendiri dan ini memberi peluang kepadanya untuk membuka gari isterinya sebelum kedua-dua mereka melarikan untuk mendapatkan pertolongan.

Orang ramai yang menjumpai mereka di kawasan tersebut telah membawa pasangan suami isteri itu ke Balai Polis Kundang, Gombak untuk membuat laporan, katanya. Mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan kecederaan di beberapa bahagian badan akibat didera dan dipukul. Abd Razak berkata hasil maklumat daripada mangsa, polis menahan seorang lelaki berumur 74 tahun yang juga pengamal perubatan tradisional di rumahnya yang terletak berhampiran dengan pondok tempat mangsa dikurung.

"Kita percaya lelaki tersebut adalah rakan subahat dalam jenayah itu dan gerakan mengesan kedua-dua suspek dan seorang lagi rakan jenayah sedang giat dilakukan," katanya.

Abd Razak turut menegaskan kes ini tiada kaitan dengan sebarang agenda politik memandangkan ada dakwaan mengatakan salah seorang mangsa culik tersebut aktif dalam politik di kawasan Serdang.

Difahamkan laporan polis telah dibuat oleh seorang anak mangsa yang berumur 21 tahun sehari selepas kehilangan ibu bapanya. -BERNAMA

Artikel Lain