suria

Selangor Tanggung Kos Hantar 996 Pelajar Kembali Ke Mesir

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menaja kos 996 pelajar negeri itu kembali ke Mesir untuk menyambung semula pengajian yang tertangguh akibat pergolakan politik di negara Asia Barat itu baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali berkata, kos tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri dengan menggunakan dana daripada Lembaga Zakat Negeri.

“Kita telah menyediakan sebanyak lima penerbangan menggunakan Egypt Air untuk proses penghantaran pelajar kita kembali ke Mesir. Penerbangan pertama akan berlepas pada 14 Mac ini. Selepas itu, penerbangan seterusnya pada 15 hingga 18 Mac.

"Kos penghantaran pulang bagi setiap pelajar ialah RM2,150,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Rabu.

Hassan berkata, penerbangan sewaan khas itu akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan terus ke Kaherah dengan setiap pelajar dibenarkan membawa muatan bagasi sehingga 40 kilogram.

Beliau berkata kesemua pelajar yang dihantar pulang itu terdiri daripada pelajar tajaan persendirian dan Majlis Agama Islam Selangor.

“Setakat ini sebanyak 778 visa telah diluluskan. Kita telah menyewa lima penerbangan khas untuk penghantaran pulang pelajar kita ke Kaherah.

“Kita berharap dengan sokongan daripada lembaga szakat dan kerajaan negeri para pelajar kita akan dapat meneruskan pengajian mereka serta mendapat keputusan yang cemerlang pada masa akan datang,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri turut mendapat kerjasama daripada 600 pusat kutipan zakat dan 500 pertubuhan bukan kerajaan di negeri itu bagi menampung kos penghantaran pulang pelajar negeri itu ke Mesir.

Artikel Lain