suria

Projek Jalan Bernilai RM96,000 Beri Manfaat Kepada 2,000 Penduduk

JELI: Hampir 2,000 penduduk di tiga kampung iaitu Banggol Yek, Bendang Besar dan Mak Jintan dekat sini menarik nafas lega apabila jalan di kampung Banggol Yek yang sempit dan rosak teruk akan dilebarkan dan diturap semula.

Projek menurap dan melebarkan jalan itu akan dilaksanakan melalui peruntukan yang disalur oleh Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed.

"Sejumlah RM 96,000 diperuntukkan kerajaan pusat bagi menurap semula dan melebar jalan ke kampung Banggol Yek.

"Projek itu akan memberi manfaat besar kepada hampir 2,000 penduduk di tiga kampung yang menggunakan laluan itu sebagai laluan utama," kata Pentadbir Mukim Rodzi Mohamed kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata kemudahan itu juga turut memberi manfaat kepada ibu bapa dan pelajar di kampung berkenaan untuk ke sekolah berdekatan antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Jedok, SK Batu Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah.

"Kemudahan infrastruktur yang disediakan kerajaan pusat ini turut memudahkan penduduk terutamanya penoreh getah untuk mengangkut hasil pertanian mereka.

"Selain itu ia dijangka akan merancakkan lagi produktiviti pertanian yang diusahakan penduduk," katanya.

Beliau berkata projek keprihatinan kerajaan pusat ini adalah antara usaha yang digembleng dalam menyediakan kemudahan prasarana terbaik kepada rakyat dan kerajaan pada hari ini sangat bertanggungjawab dalam membantu rakyat. -BERNAMA

Artikel Lain