suria

Pelajar UTP Maut Kereta Dinaiki Bertembung Di Gua Musang

GUA MUSANG: Seorang penuntut Universiti Teknologi Petronas (UTP) Tronoh, Perak, maut, manakala seorang lagi cedera parah, dan tiga yang lain mengalami kecederaan ringan selepas dua kereta bertembung dalam satu kemalangan di Kilometer 48, Jalan Gua Musang-Lojing, pagi ini.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Che Rusli Che Sulaiman berkata, Khairul Hakimi Ismail, 22, yang berasal dari Kampung Kepong, Kuala Terengganu meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan pada kira-kira pukul 11.30 pagi itu.

Beliau berkata, rakan Khairul, Azwan Arif, 22, mengalami kecederaan parah manakala dua lagi rakannya Khairulamin Ahmad dan Mohd Khairul Azhar, kedua-duanya berumur 22 tahun, mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.

Beliau berkata, seorang lelaki berumur 40 tahun yang merupakan pemandu kereta yang bertembung dengan kereta pelajar itu turut mengalami kecederaan ringan.

Che Rusli berkata, kejadian berlaku semasa kereta yang dipandu Khairulamin sedang dalam perjalanan dari Tronoh, Perak menuju Terengganu itu bertembung dengan sebuah kereta.

Beliau berkata, pasukan bomba terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mayat Khairul Hakimi yang tersepit di tempat duduk sebelah pemandu dalam kejadian itu. - BERNAMA

Artikel Lain