suria

Najib Jemput Rakan Facebook Ke Perjumpaan Di Sarawak

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan memulakan sesi "Mari Berjumpa, Mari Berhubung" di Sarawak pada 19 Mac ini, menjemput rakan Facebook beliau untuk satu perjumpaan khas di sini.

Perdana Menteri berkata mereka boleh mendaftar di http://bit.ly/1MMBMB untuk peluang mendapat jemputan ke majlis itu.

"Tidak sabar untuk mengunjungi Kuching pada 19 Mac ini, lebih-lebih lagi perjumpaan sesi Mari Berjumpa, Mari Berhubung saya yang pertama akan diadakan di sana," katanya dalam laman Facebook beliau hari ini.

Ketika menyambut baik jemputan itu, Sarinah Abdullah, seorang daripada rakan Facebook Najib, berkata beliau memang teringin sangat hendak berjumpa dengan Perdana Menteri tetapi belum berkesempatan.

Seorang lagi rakan Facebook Perdana Menteri, Kamsiah Saufi, berkata penduduk Sarawak sentiasa menunggu kehadiran Perdana Menteri tersayang.

"Tahniah dan syabas atas lawatan tersebut," katanya.

Liew Yun Fah pula menyifatkan hasrat Najib untuk berjumpa dengan rakan Facebook di Sarawak sebagai "jemputan pemimpin prihatin".

Katanya beliau tidak sabar menyertai perjumpaan itu jika ada peluang nanti.

"Datuk Seri sentiasa disambut baik di Bumi Kenyalang," kata Windasay Nyanggai manakala Ku Razak Ku Ismail berkata Najib adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat.

Dalam sesi Mari Berjumpa, Mari Berhubung, Najib dijadual melakukan tinjauan mesra di kampung, beramah mesra dengan penduduk setempat ketika melawat Serian, 65 km dari sini serta Kampung Semera di Sadong Jaya dalam bahagian Samarahan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman akan turut melawat Sarawak pada hari yang sama. -BERNAMA

Artikel Lain