suria

Mahkamah Rayuan Tolak Saman Uthayakumar

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini, pada Rabu menolak saman fitnah RM100 juta penasihat undang-undang pertubuhan haram, Hindraf P.Uthayakumar terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia.

Datuk K.N.Segara yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa tindakan undang-undang yang dibuat oleh Uthayakumar tidak dapat dikekalkan kerana perkataan yang didakwa bersifat fitnah yang disebut oleh Musa tidak merujuk kepada Uthayakumar tetapi kepada Hindraf sebagai satu kumpulan.

Beliau berkata Hindraf tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman sivil kerana ia bukan sebuah persatuan yang berdaftar.

Dalam satu keputusan majoriti 2-1, panel itu membenarkan rayuan tiga perayu (Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia) dan membatalkan saman sivil terhadap mereka.

Hakim Segara dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang memutuskan untuk para perayu, juga memerintahkan Uthayakumar supaya membayar kos perundangan sebanyak RM20,000.

Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus pula berbeza pendapat, memutuskan bahawa kes itu perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi memandangkan, katanya, kes itu bukan satu yang polos dan ketara kes yang tidak kekal ditolak.

Beliau mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 April 2009 yang menolak permohonan perayu untuk menolak saman itu.

Uthayakumar, 48, memfailkan saman terhadap kerajaan dan dua pegawai tingginya pada 2008 kerana didakwa mengaitkannya dengan kumpulan penganas.

Dia mendakwa bahawa kenyataan media oleh Musa, yang dilaporkan secara meluas oleh media, adalah bersifat fitnah dan satu cubaan untuk merosakkan kredibiliti dan reputasinya.

Sebelum ini, Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof (pada masa itu Pesuruhjaya Kehakiman) menolak permohonan Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia bagi mengetepikan saman itu.

Di luar mahkamah, peguam M.Manoharan yang mewakili Uthayakumar berkata beliau akan mendapatkan kebenaran Magkamah Peprsekutuan untuk merayu terhadap keputusan pada Rabu.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan mewakili ketiga-tiga perayu itu. - BERNAMA

Artikel Lain