suria

Kesedaran Terhadap Isu Wanita Beri Impak Besar Pada Masyarakat

Dr Noorul Ainur menyampaikan puisi pada majlis pelancaran Women:100 anjuran bersama oleh Kakiseni dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Foto THE STAR oleh DARRAN TAN
Dr Noorul Ainur menyampaikan puisi pada majlis pelancaran Women:100 anjuran bersama oleh Kakiseni dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Foto THE STAR oleh DARRAN TAN
Dr Noorul Ainur menyampaikan puisi pada majlis pelancaran Women:100 anjuran bersama oleh Kakiseni dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Foto THE STAR oleh DARRAN TAN

SUBANG JAYA: Isu wanita yang sering disuarakan oleh pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran golongan itu yang kini berjumlah lebih 14 juta orang di negara ini telah memberi impak yang besar ke atas masyarakat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, pengaruh itu turut memberi kesan kepada golongan lelaki mengenai wanita terutama sumbangan mereka dalam kehidupan.

“Kefahaman masyarakat mengenai usaha memperkasakan kaum wanita bukan sekadar menumpukan pada peringkat individu bahkan di peringkat antarabangsa.

“Pengaruh ini sebenarnya menggerakkan perubahan dalam persekitaran kepada yang lebih baik dan progresif,” katanya pada majlis pelancaran ‘Women:100’ di sini, Selasa. Teks ucapannya dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

Women:100 dianjurkan oleh Kakiseni, sebuah laman web khusus untuk peminat seni tempatan dengan kerjasama KPWKM sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut pada 8 Mac.

Ketua Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, Women:100 merupakan acara persembahan seni selama 100 jam yang menjadikan wanita sebagai subjek utama meliputi teater, bengkel, penceritaan, tarian dan muzik.

“Mendekati masyarakat menerusi seni tentang isu wanita merupakan sesuatu yang unik kerana ia membantu merangsang pemikiran penonton.

“Inilah yang kita mahukan dalam Women:100 agar usaha memupuk kesedaran dan kefahaman itu lebih jelas di samping mensasarkan semua golongan tanpa mengehadkan wanita semata-mata,” katanya.

Sebanyak 13 persembahan akan dipertontonkan sepanjang Mac sehingga April dengan menekankan tentang cara meraikan kejayaan dan memperkasa kaum wanita.

Semua persembahan boleh ditonton secara percuma dengan menempah tempat duduk termasuk butiran program, tarikh, waktu dan lokasi di laman web, www.kakiseni.com.

Artikel Lain