suria

Kes Culik: Lima Ditahan, Jongkong Emas Bernilai RM1.44 Juta Ditemui

KLANG: Polis Selangor menahan lima lelaki dan merampas sepuluh jongkong emas bernilai RM1.44 juta yang dijadikan nilai tebusan dalam kes penculikan seorang pengarah syarikat keselamatan,di sini, awal pagi Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, polis berjaya menyelamatkan mangsa, seorang lelaki berumur 62 tahun yang diculik di belakang sebuah restoran di Persiaran Raja Muda Musa di Pelabuhan Klang 7 Mac lepas, pada 12.45 pagi.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi mangsa ditemui pada sidang akhbar hari ini.

Tun Hisan berkata, pada 1 pagi, polis menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pramugara bersama empat pendatang asing tanpa izin warga Nepal yang berusia lingkungan 30-an kerana disyaki terlibat dalam kes itu.

"Tiga orang suspek berjaya ditangkap pada pukul 1 pagi di Jalan Pos Baru, manakala tangkapan kedua, yang melibatkan dua lagi suspek, berjaya dilakukan pada pukul 7 pagi di Taman Sentosa, Klang," katanya.

Difahamkan, laporan polis mengenai penculikan itu dibuat beberapa jam selepas kejadian.

Polis turut merampas sebuah kenderaan pikap tempat jongkong emas, setiap satunya seberat sekilogram, ditemui, sebuah motosikal berkuasa tinggi, alat renjatan elektrik, lima telefon bimbit dan wang tunai RM45.

Tun Hisan berkata suspek dipercayai menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan pikap berpelekat K-9 semasa melakukan jenayah itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain