suria

Hattan Fail Pembelaan Terhadap Tuntutan Bekas Isteri

PETALING JAYA: Penyanyi Hattan pada Rabu, memfailkan pembelaannya terhadap permohonan tuntutan mutaah dan edah yang difailkan oleh bekas isterinya, Arianie Mohd Abidin.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie Roshdan Sujak Rafie yang mewakili Hattan pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Menurut Roshdan, pihaknya juga telah menyerahkan salinan pembelaan tersebut kepada peguam syarie Hazirah Othman @ Man yang bertindak bagi Arianie.

“Justeru itu, saya memohon untuk mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan bagi kedua-dua kes terbabit,” katanya yang mengendalikan kes bersama peguam syarie Mohd Faiz Adnan.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Ghazali Ahmad tidak membenarkan permohonan itu kerana menurut beliau akan berlaku pertukaran hakim, dan menetapkan supaya kes disebut terlebih dahulu pada 20 April depan.

Pada prosiding sama, Hazirah memaklumkan bahawa anak guam beliau berhasrat untuk menjawab pembelaan Hattan dan akan berbuat demikian pada prosiding akan datang.

Arianie, 40, dan Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabuddin, 47, bernikah pada 17 Disember 1996 dan bercerai pada 10 Mac 2005. Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak, Adam Eiman yang berusia 13 tahun dan diletakkan di bawah jagaan penyanyi tersebut.

Hattan mahupun Arianie tidak menghadiri prosiding mahkamah kerana penyanyi lagu Biso Bonar itu mempunyai urusan di Kuching, Sarawak.

Sebelum ini, prosiding pernah ditangguhkan bagi mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Insolvensi selepas Arianie diisytiharkan sebagai seorang yang bankrap.

Pramugari tersebut disahkan bankrap pada 9 Ogos 2006 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini.

Artikel Lain