suria

Dewan Rakyat: Peguam Negara Selesai Teliti Cadangan Pinda ISA

KUALA LUMPUR: Pejabat Peguam Negara telah selesai meneliti cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kertas cadangan berkenaan dijangka akan diserahkan kepada Kabinet untuk diteliti sebelum dibentangkan di Parlimen.

"Saya dimaklumkan oleh Pejabat Peguam Negara persediaan mengenainya sudah siap.

"Saya percaya ia akan dibawa ke peringkat Kabinet seperti prosedur biasa untuk disemak sebelum dibentangkan di Parlimen," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Rabu.

Bagaimanapun beliau tidak dapat mengesahkan sama ada cadangan pindaan ISA dan lima akta berkaitan termasuk mengenai perhimpunan aman di tempat awam akan dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini.

"Sempat atau tidak, anda (media) kena tanya Peguam Negara, ia bergantung kepada keadaan," katanya.

Sehingga 1969, ISA mengalami perubahan dan pindaan tidak kurang 15 kali, iaitu sekali pada 1962, masing-masing tiga kali pada 1963 dan 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989.

Artikel Lain