suria

Muhyiddin Mulakan Lawatan Ke Mumbai, Delhi Dan Chennai

MUMBAI: Hubungan diplomatik dan perdagangan India-Malaysia akan terus mendapat rangsangan menerusi lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke India minggu ini.

Pesawat yang membawa Muhyiddin, yang turut disertai beberapa menteri kanan dan para pegawai peringkat tertinggi, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapatti Sivaji di Mumbai kira-kira 8.30 malam (11 malam waktu Malaysia).

Beliau tiba beberapa minggu selepas termeterainya Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif India-Malaysia yang melakar sejarah, dan setahun selepas lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jelas menggambarkan kepentingan hubungan dua hala ini.

"Ini kali pertama lawatan rasmi beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia akan memberi peluang untuk mewujudkan hubungan dengan kepimpinan India dan memperkukuhkan kesepakatan antara kedua-dua negara," kata Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India Datuk Tan Seng Sung kepada media Malaysia hari ini.

Muhyiddin akan melakukan lawatan ke tiga bandar, bermula dengan Mumbai pada Selasa dan dua hari kemudian, jadual lawatan itu membawa beliau ke New Delhi dan kemudian Chennai, dan menamatkan seterusnya lawatannya ke India.

Di Mumbai, beliau dijangka mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan terkemuka India hartawan perniagaan Mukesh Ambani dan Ratan Tata, seorang lagi tokoh perindustrian terkemuka.

Dalam pertemuan dengan peneraju industri itu pada Rabu, wakil daripada pelbagai syarikat biotek, tenaga angin dan solar serta prasarana dijangka hadir.

Beberapa siri pertemuan penting menanti Muhyiddin di Delhi, di mana beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dan beberapa anggota Kabinet yang dijangka menyentuh isu dua hala.

"Ia akan menyediakan peluang untuk membincangkan pelbagai isu... hubungan dua hala kita kini berada di kemuncaknya. Ini adalah lawatan muhibbah," kata Tan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Duta Khas Malaysia bagi Infrastruktur ke India Datuk Seri S. Samy Vellu tiba pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain