suria

Mangsa Lari Ke Dalam Bas Sekolah Elak Dirompak

ALOR SETAR: Seorang wanita bertindak melarikan diri ke dalam sebuah bas sekolah bagi mengelak daripada dirompak seorang lelaki di rumahnya di Taman Sinaran, Jalan Kuala Kedah dekat sini awal pagi Isnin.

Bas sekolah tersebut ketika itu sedang melalui kawasan rumahnya kira-kira 5.50 pagi.

Namun tindakan Low Sau Kiow, 46, melarikan diri daripada perompak tersebut nyaris membawa padah kepadanya apabila perompak itu yang dipercayai warga Indonesia melepaskan tembakan ke arahnya tetapi tersasar.

Menceritakan peristiwa itu, Low berkata, lelaki berkenaan dapat masuk melalui pintu depan rumahnya ketika pembatu rumahnya sedang membersihkan lantai.

Lelaki berkenaan yang berpakaian serba hitam dan bertopeng muka kemudiannya memasuki bilik tidur mangsa dan mengacu pistol kepadanya sambil meminta wang.

"Kemudian saya bersama tiga orang anak saya serta seorang pembantu rumah Indonesia dikumpul dalam satu bilik. Perompak mengugut saya jika tidak memberi wang, dia akan culik anak lelaki saya yang berusia 11 tahun.

"Saya cakap dekat dia, saya tak ada wang dalam rumah. Kalau nak wang, kita pergi bank," katanya.

Perompak tersebut mempercayai helah beliau.

Apabila berada di luar rumahnya, Low mengambil kesempatan melarikan diri dan berlindung di dalam sebuah bas sekolah yang kebetulan melalui rumahnya.

"Semasa saya lari ke arah bas itu, perompak melepaskan satu tembakan tetapi tidak kena saya. Perompak kemudian lari," katanya.

Namun lelaki terbabit sempat melarikan empat telefon bimbit dan sebuah kamera digital milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Polis Adzaman Mohd Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan dan akan melakukan siasatan kes di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat). - BERNAMA

Artikel Lain