suria

Kekalahan Di Merlimau dan Kerdau Tidak Beri Tekanan Kepada PAS

KUALA LUMPUR: Kekalahan PAS di dua Pilihan Raya Kecil (PRK), Merlimau dan Kerdau baru-baru ini tidak memberi tekanan kepada parti itu.

Naib Presidennnya, Datuk Mahfuz Omar berkata penglibatan PAS pada dua PRK itu merupakan satu latihan kepada jentera parti untuk menghadapi pilihan raya umum.

“Undi PAS di Merlimau hanya berkurangan 500 undi berbanding pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Di Kerdau pula undi kita berkurang sebanyak 180 undi sahaja.

“Ini maknanya PAS kuat dan kita tidak kalah sebenarnya,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kekalahan PAS dalam dua PRK yang berlangsung di Merlimau dan Kerdau, Ahad lalu.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, majoriti undi yang diperolehi oleh Barisan Nasional meningkat disebabkan peratusan keluar mengundi tinggi berbanding PRU 2008.

“Kita hanya ada lima cawangan di Merlimau. Jika hendak dibandingkan dengan cawangan Umno di Merlimau, PAS kira kuatlah.

“Bagi saya ini menunjukkan kekuatan PAS. Ini satu kekuatan luar biasa kepada PAS di Merlimau dan Kerdau,” katanya.

Ahad lalu, Barisan Nasional (BN) menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau dan Kerdau.

Di Merlimau, Roslan Ahmad yang mewakili BN menang dengan majoriti 3,643 undi.

Roslan, 44, memperoleh 5,962 sementara calon PAS Yuhaizad Abdullah sekadar menerima 2,319 undi.

Sementara itu, di Kerdau pula BN menang dengan majoriti 2,724 undi.

BN yang diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad berjaya memperoleh 5,060 undi sekaligus menewaskan calon PAS, Hassanuddin Salim yang mendapat 2,336 undi.

Ini merupakan kekalahan PAS, kali keempat berturut-turut selepas, kerana selain Merlimau dan Kerdau PAS juga tewas di Tenang serta Galas.

Artikel Lain