suria

Ibu Bapa Pelajar Yang Lakukan Kesalahan Trafik Akan Dikenakan Tindakan

KUALA LUMPUR: Ibu bapa yang anak mereka melakukan kesalahan trafik ketika ke sekolah bakal menghadapi tindakan undang-undang, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki lesen, tidak memakai topi keledar dan cukai jalan tamat tempoh.

"Ini merupakan antara usaha bagi menurunkan kadar jenayah melibatkan pelajar sekolah selain membentuk jati diri mereka agar lebih berdisiplin," katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan dengan Pengarah Jabatan Pelajaran Kuala Lumpur Mohd Adenan Deraman di sini.

Beliau berkata, tindakan akan dikenakan mengikut kesalahan yang dilakukan dan perkara ini akan dilaksanakan dalam satu tempoh yang akan ditetapkan pada bulan ini.

Katanya, tindakan ini merupakan kerjasama pelbagai pihak dalam membentuk sahsiah pelajar yang bebas daripada kesalahan trafik, jenayah jalanan dan samseng sekolah.

Zulkifli berkata, bagi membantu memantapkan jati diri dan disiplin pelajar, sebanyak 10 daripada 199 sekolah di bandar raya akan dijadikan sekolah angkat polis.

Menurutnya, sekolah ini merupakan sekolah cemerlang dan juga yang bermasalah di mana pihaknya akan meletakkan pegawai polis atau pegawai perhubungan yang dilantik kedua-dua pihak bagi menjelaskan perihal undang-undang.

Beliau berkata, terdapat lebih 250,000 pelajar di Kuala Lumpur dan daripada jumlah itu seramai 134 pelajar ditahan tahun lepas melibatkan 80 kes berbanding 171 pelajar ditahan pada 2009 membabitkan 95 kes.

Sementara itu, Mohd Adenan Deraman berkata pihaknya berharap usaha ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa dan mencari idea lain untuk membentuk disiplin pelajar. - BERNAMA

Artikel Lain