suria

Dua Penarik Kereta Dihukum Penjara Enam Bulan Kerana Rasuah

ALOR SETAR: Dua orang penarik kereta masing-masing dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah pada 2007.

Rusmadi Hamid, 39, dan Muhammad Zahir Jantan, 27, kedua-duanya dari Langkawi juga dikenakan hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Hakim Mohd Sabri Ismail ketika membacakan keputusannya berkata pegawai pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh dan pihak pembelaan yang mewakili Muhammad Zahir gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Rusmadi tidak diwakili peguam.

Rusmadi didakwa meminta suapan RM500 daripada Abdul Jalil Arifin sebagai dorongan tidak menarik kereta Proton Satria bernombor PDH 9775 milik Razali Ismail yang didakwa gagal membayar ansuran.

Rusmadi dituduh melakukan kesalahan itu di kuarters polis Taman Berlian, Langkawi pada 3 petang, 2 Oktober 2007.

Dia juga dituduh bersama Muhammad Zahir meminta RM300 daripada Abdul Jalil di Jeti Perikanan Penarak, Kuah, pada 5.30 petang, 3 Oktober 2007, sebagai dorongan tidak menarik kereta tersebut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Dalam rayuannya, kedua-dua tertuduh memohon mahkamah agar tidak mengenakan hukuman penjara kerana terpaksa menanggung keluarga.

Mahkamah turut membenarkan permohonan tertuduh agar hukuman penjara ditangguhkan dan mengenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sehingga rayuan mereka didengar di Mahkamah Tinggi. -BERNAMA

Artikel Lain