suria

Dua Pekerja Telekom Malaysia Maut Dalam Kemalangan

JOHOR BARU: Dua pekerja Telekom Malaysia Berhad (TM) Mersing maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir di KM76, Jalan Batu Pahat-Mersing, dekat Kluang, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Fawzi Arshad berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah Abdul Wahab Jaafar, 51 dan Abdul Malik Abdullah, 49, manakala yang cedera parah adalah Jasni Samad, 51.

"Kemalangan kira-kira pukul 8.05 pagi di kawasan Kampung Gajah itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Saga BLM yang dipandu Jasni dari arah Mersing menuju Kluang memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh treler tersebut," katanya ketika dihubungi, di sini, Selasa.

Mohd Fawzi berkata Abdul Wahab dan Abdul Malik yang tersepit di dalam kenderaan itu meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler, berumur 41 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Kluang untuk bedah siasat dan Jasni turut dirawat di hospital yang sama.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Artikel Lain