suria

Penunggang Motosikal Maut Akibat Langgar Lari

IPOH: Polis sedang mengesan seorang pemandu kenderaan bagi membantu siasatan berhubung kes langgar lari membabitkan seorang penunggang motosikal yang ditemui mati di Jalan Jelapang di sini semalam.

Ketua Polis Trafik Ipoh DSP Mohd Rodzi Rejab berkata mangsa M.Mohan, 39, berasal dari Kampung Tersusun, Jelapang ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala dan badan pada pukul 7 petang semalam.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat oleh orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis, katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rodzi berkata mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan ketika dalam perjalanan dari bandar ini ke rumahnya dan pemandu kenderaan terbabit tidak membuat laporan polis sehingga hari ini.

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes langgar lari dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di nombor telefon 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Sementara itu dalam kejadian lain seorang penunggang motosikal terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Km 24.5 Jalan Bagan Datoh-Hutan Melintang semalam.

Mangsa, Che Ross Abdul Jalil, 52, yang berasal dari Parit 23, Hutan Melintang mengalami cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke HOspital Teluk Intan untuk bedah siasat.

Siasatan mendapati mangsa telah dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan yang mengekorinya menyebabkan mangsa tercampak ke dalam parit di sebelah kiri. Pemandu kenderaan terbabit membuat laporan dan polis sedang menyiasat kejadian itu, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain