suria

PRK Kerdau: SPR Yakin Peratusan Keluar Mengundi Meningkat

TEMERLOH: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yakin peratusan keluar mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau akan melebihi sasaran awal iaitu 80 peratus.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, keyakinan itu berdasarkan perkembangan terkini peratusan keluar mengundi sehingga pukul 11 pagi iaitu sebanyak 54.34 peratus atau 4,890 orang pengundi.

"Sekarang masih awal, namun jumlah pengundi keluar mengundi sehingga kini sangat baik dan memberangsangkan.

"Dengan keadaan cuaca yang baik, saya yakin kita akan capai peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus," katanya selepas meninjau pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, Ahad.

Jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di DUN Kerdau ialah seramai 8,999 orang.

Sementara itu, mengulas mengenai perjalanan proses pilihan raya ini, Wan Ahmad berkata pihaknya berpuas hati dengan perkembangan setakat ini.

"Secara keseluruhan kita puas hati kerana semuanya berjalan lancar dan terkawal.

"Walaupun berlaku sedikit 'perang mulut' akibat provokasi awal pagi tadi di pusat mengundi ini, keaadaannya masih terkawal tanpa insiden yang tidak diingini," katanya.

Artikel Lain