suria

PRK Kerdau: Proses Pengundian Bermula

TEMERLOH: Proses pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau mula berlangsung pada jam 8 pagi Ahad dan akan berakhir pada jam 5 petang.

Seramai 8,999 pengundi berdaftar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau akan menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memilih wakil rakyat yang baru.

Sebanyak 10 sekolah, dua balai raya dan sebuah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi untuk 22 saluran pada pilihan raya kecil DUN Kerdau.

Selain itu, Dewan Tun Razak dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang sebelum ini dijadikan pusat penamaan calon akan berfungsi sebagai pusat penjumlahan rasmi undi pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya ini menyaksikan saingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) yang diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dan PAS yang mempertaruhkan Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim.

Syed Ibrahim merupakan anak kelahiran tempatan yang lahir di Kampung Kuala Tekal.

Lulusan Universiti Al-Azhar itu juga merupakan bekas Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar Pahang sejak 2001.

Selain aktif dalam politik, beliau merupakan seorang penceramah agama dan motivasi kepada para pelajar sekolah dan pernah menjadi guru Bahasa Arab dan Agama di Sekolah Menengah Agama Darul Naim di sini pada tahun 1997 hingga 2000.

Sementara itu, Hasanuddin yang dilahirkan di Kampung Loyang, Sanggang, berkelulusan Diploma Ukur dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) adalah seorang ahli perniagaan.

Hassanuddin pernah bertanding di DUN Kerdau pada pilihan raya umum 2008 namun tewas dengan majoriti 1,615 undi di tangan wakil rakyat BN, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim.

Kerusi DUN Kerdau kosong berikutan kematian Zaharuddin pada 12 Februari lepas.

Artikel Lain