suria

PRK Kerdau: Kurang Sejam, Semangat Penyokong BN, PAS Berterusan

TEMERLOH: Ketika tempoh mengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bakal berakhir dalam tempoh satu jam, kehangatan penyokong kedua-dua parti meraih undi berterusan walaupun dalam suasana cuaca panas terik.

Tinjauan di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau mendapati kira-kira seribu penyokong BN dan PAS masih bersemangat bersorak di luar pusat mengundi berkenaan.

Kehangatan suasana hari pengundian di pusat mengundi SMK Kerdau bermula sejak awal pagi tadi hingga berlakunya sedikit insiden 'perang mulut' antara penyokong PAS dan BN.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menegaskan bahawa penyokong kedua-dua parti politik yang bertanding tidak dibenarkan berkempen atau meraih undi pada hari pengundian.

Bagaimanapun larangan berkenaan tidak dihiraukan dan aktiviti berkempen masih berterusan.

Proses mengundi mula berlangsung sejak pukul 8 pagi tadi dan bakal berakhir pada pukul 5 petang.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan saingan satu lawan satu antara BN yang diwakili Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44 dan PAS yang diwakili Hassanuddin Salim, 43.

Kerusi DUN berkenaan kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN, Allahyarham Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Februari lepas.

Artikel Lain