suria

PRK Kerdau: 7,480 Pengundi Komited, 83 Peratus Keluar Mengundi

TEMERLOH: Setelah proses pengundian bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau tamat pada pukul 5 petang Ahad, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa jumlah keluar mengundi ialah sebanyak 7,480 atau 83 peratus.

Jumlah berkenaan melebihi sasaran awal SPR iaitu sebanyak 80 peratus. Jumlah pengundi yang layak mengundi ialah sebanyak 8,999 orang pengundi.

Pada pilihan raya umum 2008, peratus keluar mengundi adalah sebanyak 80.33 peratus daripada 8,451 pengundi berdaftar.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya berpuas hati dengan peratusan berkenaan dan sekaligus menunjukkan komitmen pengundi menunaikan tanggungjawab mereka.

"Nampaknya kesedaran pengundi di kawasan luar bandar untuk menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat yang baru adalah lebih baik.

"Pengundi di DUN Kerdau begitu komited dalam soal pilihan raya kecil ini, mereka keluar beramai-ramai sejak awal pagi lagi untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Ahad.

Selain itu katanya, keberkesanan kempen dari rumah ke rumah yang digunakan perayu undi setiap parti dilihat sangat membantu dalam menyedarkan pengundi untuk keluar mengundi.

"Saya lihat keberkesanan kempen yang digunakan oleh parti-parti politik menemui pengundi dalam tempoh berkempen sejak minggu lalu begitu berkesan.

"Mungkin pengundi merasa lebih bertanggungjawab apabila calon-calon dan perayu undi datang menemui mereka dan mengingatkan mengenai peranan yang perlu dijalankan sebagai rakyat," katanya.

Tambah beliau, keadaan cuaca yang baik sepanjang proses pengundian merupakan faktor kepada peningkatan jumlah peratusan keluar mengundi.

Mengulas mengenai suasana proses pengundian di kawasan DUN Kerdau, Wan Ahmad berkata: "Secara keseluruhannya keadaan di DUN kerdau berjalan dengan baik tanpa sebarang insiden tidak diingini.

"Alhamdulillah semuanya lancar tanpa masalah...anggota keselamatan berjaya mengawal keadaan dengan baik walaupun ada sedikit perbalahan kecil. Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa yang cepat bertindak menangani masalah yang timbul."

Artikel Lain