suria

Maidam Bantu Urus Visa Pelajar Pulang Ke Mesir

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) akan membantu pelajar tajaannya mendapatkan visa bagi membolehkan mereka kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian.

Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Maidam Wan Harujan Sulaiman berkata sehubungan itu, semua pelajar terbabit diminta datang pejabat Maidam pada pukul 8 pagi, Selasa ini bagi urusan tersebut.

"Maidam akan menyediakan kemudahan termasuk jurugambar untuk mengambil gambar bagi membuat visa," katanya kepada pemberita, di sini, Ahad.

Pelajar katanya, harus membawa semua dokumen berkaitan termasuk yang mengesahkan mereka telah diberi kebenaran kembali ke Mesir.

Pada hari itu juga Maidam akan membuat pembayaran tunai sebanyak RM100 kepada pelajar yang belum lagi menerima bantuan semasa tiba di tanah air tempoh hari, katanya.

Beliau berkata Maidam bersetuju membiayai sebahagian kos tambang pelajar tajaannya seramai 300 orang yang kembali ke tanah air menerusi Ops Piramid baru-baru ini.

Wan Harujan berkata jumlah keseluruhan peruntukan untuk menghantar pulang pelajar tajaan Madiam ke Mesir ialah sebanyak RM450,000.

Katanya pelajar-pelajar berkenaan akan diterbangkan dengan pesawat yang disewa khas kerajaan negeri terus dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) ke Kaherah, Mesir. - BERNAMA

Artikel Lain