suria

Jangan Benar Orang Luar Buat Kacau Pada Hari Mengundi

TEMERLOH: Polis diarah memperketat kawalan dan tidak membenarkan mana-mana pihak atau individu dari luar membuat huru-hara ketika hari pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dan Merlimau, Ahad.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kawalan keselamatan perlu dipertingkat bagi membolehkan proses pengundian kedua-dua DUN itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Yang penting saya tekankan, orang ramai dapat keluar mengundi tanpa disekat dan yang penting jangan benarkan orang luar membuat huru-hara," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat tertutup polis di Markas Taktikal Polis (Martek) di sini.

Mengulas mengenai pilihan raya kecil Kerdau, Hishammuddin berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dirancang pasukan keselamatan.

"Saya diberi taklimat mengenai persiapan hari mengundi. Saya agak puas hati dan yakin mereka (polis) telah membuat perancangan teliti untuk menghadapi apa jua kemungkinan," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Kerdau menyaksikan pertandingan antara calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dan calon PAS Hassanuddin Salim, 43. Pilhan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim daripada BN pada 12 Februari lepas. - BERNAMA

Artikel Lain