suria

Pilihan Raya Negeri Tiada Kaitan Dengan Tarikh Ulang Tahun Ke-30 Sebagai Ketua Menteri - Taib

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata tarikh bagi pilihan raya negeri akan datang tiada kaitan dengan tarikh ulang tahun ke-30 beliau memegang jawatan itu pada 26 Mac ini.

Di tengah-tengah spekulasi kononnya Dewan Undangan Negeri Sarawak dengan 71 anggota mungkin dibubarkan pertengahan bulan ini bagi diadakan pilihan raya negeri ke-10, Taib, yang mencecah usia 75 tahun pada 21 Mei, berkata ia akan diadakan tidak lama lagi namun tidak menyatakan sebarang tarikh.

"Saya tidak tahu. Saya akan beritahu anda (media) nanti," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak itu kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen BN Sarawak yang dihadiri 5,300 anggota dan penyokong parti komponen BN negeri.

Taib, yang menerajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yakin konvensyen itu mampu menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan anggota empat parti komponen BN negeri, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya negeri.

Tiga lagi parti komponen BN negeri ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP). - BERNAMA

Artikel Lain