suria

Permohonan Sagu Hati Untuk Bekas Tentera Akan Dibincang Dengan PM, Kata Ahmad Zahid

JASIN: Permohonan bagi tuntutan bayaran sagu hati atau ex-gratia bagi 1,142 bekas anggota tentera yang cedera sewaktu berkhidmat sebelum tahun 2001 telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk dipertimbangkan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau juga akan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan berhubung permohonan itu.

"Ini merupakan tuntutan daripada mereka sekian lama. Saya rasa terpanggil untuk perjuangkan tuntutan mereka ni. InsyaAllah saya akan berbincang secara lebih terperinci dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan bersama veteran ATM negeri Melaka di Merlimau, di sini Sabtu.

Beliau berharap permohonan tuntutan bayaran sagu hati berjumlah RM19 juta yang dikemukakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu diberikan pertimbangan sewajarnya.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan pembayaran ex-gratia bencana kerja bagi anggota tentera yang cedera, mulai 1 Januari 2001 dan ke atas.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyampaikan Pingat Jasa Malaysia kepada 11 bekas anggota tentera pelbagai pangkat, bantuan kerusi roda dan cek bantuan institut pengajian tinggi (IPT) kepada anak bekas pesara tentera yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam. - BERNAMA

Artikel Lain