suria

Pemandu Lori Simen Maut Rempuh Dua Kereta, Rumah Teres

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori simen maut apabila kenderaannya merempuh dua kereta dan sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Bukit Anggerik, Cheras, di sini Sabtu.

Ong Heng Sai, 52, mati di tempat kejadian akibat pendarahan teruk setelah tersepit di kerusi pemandu. Mayatnya dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras Johari Mohd Lazim berkata kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu turut menyebabkan sepasang suami isteri berusia dalam lingkungan 30-an cedera dan mereka dihantar ke PPUKM untuk rawatan.

Beliau berkata Ong dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni jalan berbukit di Jalan 8/54, taman itu menyebabkannya melanggar sebuah kereta Perodua Kenari di hadapannya sebelum merempuh sebuah kereta Perodua Kembara yang datang dari arah bertentangan.

Pemandu lori dari Ampang itu kemudian merempuh sebuah rumah teres dua tingkat di No 1, Jalan 8/54, Taman Bukit Anggerik, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

Johari berkata anggota bomba dan penyelamat terpaksa menggunakan kren untuk mengalihkan kepala lori bagi mengeluarkan Ong yang tersepit di kerusi pemandu.

"Kami mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan Ong dan 10 minit untuk mengeluarkan pasangan suami isteri dari kereta Kembara yang remuk itu. Lelaki dalam kereta Kenari tidak cedera," katanya.

Sementara itu, wanita warga emas bersama pembantu rumah yang berada dalam rumah teres dua tingkat itu tidak cedera.

Pembantu rumah berkenaan, Hotimah Mundari, 43, berkata semasa kejadian dia sedang tidur di sofa ruang tamu rumah, kira-kira dua meter dari dinding rumah yang dirempuh, manakala majikannya sedang berehat di bilik atas rumah itu.

Hotimah berkata dia terkejut apabila mendengar bunyi dentuman yang kuat dan menyangka ia adalah gempa bumi.

"Ketika itu, saya hanya nampak bahagian hadapan rumah sudah runtuh dengan almari dan televisyen pecah dan apabila saya keluar dari rumah mengikut pintu belakang, baru saya nampak ada lori yang merempuh rumah," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain